Tanggal 27 Februari 2011, genaplah 2 tahun usia puteri kami Irdina Ameenah bt Mohd Khairul. Maka satu majlis sambutan hari jadi serta doa kesyukuran telah diadakan bertempat di kampung ibu beliau di Tanjung Bidara, Melaka. Sambutan hari jadi yang dilangsungkan secara sederhana tersebut telah dihadiri oleh kaum keluarga serta saudara-mara terdekat sahaja.
Irdina juga sangat bertuah pada hari itu kerana Mama (Mak Long) beliau telah dengan berbesar hati menginfakkan sebahagian dari harta kekayaan beliau untuk membeli kek harijadi Irdina. Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa kek yang dibeli dari sebuah kedai kek yang tersohor di Melaka itu amat lazat sekali. Ini diperkuatkan lagi dengan jutaan pujian yang diterima dari para hadirin.
Majlis yang bermula kira-kira pada pukul 3 petang itu telah dimulakan dengan bacaan doa selamat yang dipimpin oleh Yang Berbahagia al-Fadhil Ustaz Muhammad bin Haji Marzuki. Sejurus selesai bacaan doa tersebut, majlis diserikan lagi dengan amalan orang Eropah yang terkenal iaitu upacara meniup lilin serta memotong kek. Oleh kerana faktor sistem koordinasi Irdina yang masih pada peringkat awal perkembangan, upacara pemotongan kek telah dilakukan dengan bantuan ayahndanya.
Majlis sambutan ini mungkin tidak akan berjaya tanpa bantuan sukarelawan yang terdiri daripada ibu saudara, bapa saudara, datuk dan nenek saudara serta datuk dan nenek Irdina sendiri. Komitmen serta kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat memang sangat mengagumkan dan ia terbukti dengan persiapan rapi yang telah berjaya disiapkan sebelum majlis berlangsung. Antara masakan yang dimasak adalah bihun goreng, nugget, kek batik dan lain-lain. Namun ada juga juadah yang dibeli dari Cik Gayah, seorang usahawan masakan tempatan.
Majlis sambutan ini juga digunakan sebaiknya oleh Irdina untuk merapatkan lagi silaturrahim diantara sepupunya, duapupunya, tigapupunya, ibubapa saudaranya serta datuk nenek saudaranya. Walaupun hubungan diantara mereka memang sedia akrab, namun dengan majlis ini diharapkan ia akan mengukuhkan lagi talian persaudaraan yang sedia terjalin. Ini bertepatan dengan firman Allah di dalam al-Quran seperti berikut.
_“Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silatur rahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (Surah an-Nisaa’, 4: 1)
Kami seisi keluarga mendoakan semoga Irdina panjang umur serta dikurnikan Allah dengan kesihatan yang baik serta dianugerahkan akal yang pintar dan cerdas. Tidak lupa juga ucapan jutaan terima kasih kami kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini, hanya Allah sahajalah yang membalas budi baik mereka.
No comments:
Post a Comment